Kelab In-Smartive Jayakan Kem Interaksi Pemimpin Muda Untuk Pelajar SMK Sungai Lembing


  

 

 Kuantan, 3 Mac – Laungan slogan ‘Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu’ menadikan semangat 97 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing untuk menyempurnakan cabaran Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) kendalian Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Taman Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah yang berakhir hari ini.

Menurut Pengurus Projek, Norazmira Othman, 20, seramai 38 fasilitator mahasiswa daripada Kelab In-Smartive telah terlibat menjayakan kem tersebut yang bertujuan memperkasa daya kepimpinan dan keyakinan diri peserta untuk menjalankan tugas mereka sebagai pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, ketua dan penolong ketua tingkatan dengan efektif.

Norazmira, yang juga mahasiswa tahun 2 Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) turut menambah bahawa sepanjang tiga hari kem tersebut, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek pengurusan dan motivasi kepimpinan termasuklah kemahiran membuat keputusan, kepentingan semangat kerja berpasukan dan pengucapan awam.

Dua peserta, Mohd Azlan Othman, 17 dan Roshaniza Ibrahim, 17 telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Peserta Terbaik di akhir kem  ini.

  

Bagi Guru Penolong Kanan (Ko-Kurikulum) SMK Sungai Lembing, Mohd Azmi Nor, pihaknya amat menghargai komitmen Kelab In-Smartive UMP dalam mencipta momentum perubahan sikap dan karakter yang positif dalam kalangan pemimpin pelajar sekolah tersebut.

Perasmian penutup dan penyampaian sijil kepada peserta telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Permuafakatan SMK Sungai Lembing, Abdul Rahim Ali. Turut hadir dalam acara penutup ialah Guru Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid), Norjanah Suhadi, Ketua Penyelidik Naib Canselor yang juga Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Presiden Kelab In-Smartive, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.

 

Disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik Naib Canselor merangkap Penasihat Kelab In-Smartive dan Pensyarah Undang-undang di Fakulti Teknologi, UMP.

Dimuatnaik oleh Unit Perhubungan Awam & Media,Pejabat Naib Canselor



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 05-03-2013, 14:43:09